Hudud: Teguran suci dan jujur

2:07 PGHijrah Bidadari

'Hudud: Teguran suci dan jujur'

Isu pelaksanaan undang-undang jenayah Islam yang terdiri daripada Hudud, Qisas dan Ta'zir (secara ringkas dipanggil Hudud) sekian lama menjadi duri dalam daging bagi masyarakat Malaysia.

Isu ini malangnya seakan menjadi isu politik dan akan dipolitikkan oleh pelbagai pihak mengikut kepentingan mereka.

Dan isu ini kembali hangat diperkatakan apabila kerajaan negeri Kelantan bertegas untuk melaksanakannya menerusi pengenalan usul peribadi di Parlimen.

Sekiranya kerajaan negeri Kelantan bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hudud, maka mereka perlu melihat bukan sekadar pada sudut substantif undang-undang itu semata-mata, tetapi juga pada pelaksanaannya, kerana dalam kebanyakan hal, pelaksanaanlah yang akan menentukan keberkesanan sesuatu undang-undang.

Tidak berguna sekiranya sesuatu undang-undang itu digubal dengan cukup baik sekiranya pelaksanaannya nanti tempang dan berat sebelah.

Isu pelaksanaan hudud ini adalah isu yang sangat besar kerana mereka yang melaksanakannya nanti akan membawa nama Tuhan.

Sekiranya mereka berlaku adil, maka mereka adil atas nama Tuhan. Tapi sekiranya mereka berlaku zalim, maka adakah zalim itu atas nama Tuhan juga?

Bagaimana pandangan awam terhadap undang-undang yang didakwa daripada Tuhan ini?

Dalam perbahasan mengenai isu hudud ini, adalah sangat penting untuk kita membezakan antara dua, iaitu yang pertama, kritikan terhadap ayat-ayat tertentu di dalam Al-Quran yang menetapkan hukuman tertentu bagi kesalahan tertentu (yang lebih popular dengan terma hukum hudud), dan yang kedua, kritikan terhadap pelaksanaan hukum Hudud.

Apabila kita mempersoalkan ayat-ayat Al-Quran, itu bermakna kita tidak beriman kepada Al-Quran.

Ini sudah tentu memberi kesan besar bagi seorang yang mengaku sebagai Islam. Berlainan pula dengan kritikan terhadap pelaksanaan hukum hudud.

Mengkritik pelaksanaan bukanlah bererti mengkritik Allah dan Rasulnya. Ini yang perlu kita fahami. Seperti juga urusan solat.

Kita tidak boleh mempertikaikan kewajipan solat, namun itu tidak bermakna kita tidak boleh mengkritik perlakuan Solat seseorang yang bercanggah dengan hukum yang dipersetujui.

Nabi Muhammad memberi ancaman yang cukup keras terhadap kaum yang gagal melaksanakan hudud dengan adil.

Dalam satu hadis yang terkumpul dalam Sahih Muslim, Nabi Muhammad bersabda:

"Wahai manusia! Sesungguhnya yang membinasakan umat-umat sebelum kamu ialah, manakala seorang yang terhormat di antara mereka mencuri, maka mereka membiarkannya. Namun bila seorang yang lemah di antara mereka mencuri, maka mereka akan melaksanakan hukum hudud atas dirinya."

Perhatikan bagaimana walaupun sesuatu kaum itu sudah melaksanakan hudud, mereka tetap dibinasakan.

Ini menunjukkan bahawa kesejahteraan tidak tercapai semata-mata dengan melaksanakan hudud. Ia memerlukan lebih daripada sekadar itu.

Pelaksanaan hudud haruslah dengan penuh keadilan dan bukannya dipenuhi dengan ketempangan yang pada akhirnya menghalang keadilan daripada ditegakkan.

Ketempangan dalam melaksanakan hudud boleh berlaku daripada beberapa sudut. Antaranya adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas, iaitu pendakwaan terpilih.

Antara perkara penting yang perlu ada dalam sesebuah sistem perundangan adalah ia seharusnya tertakluk pada semua anggota masyarakat tanpa ada yang diberi keistimewaan.

Ini termasuklah dalam hudud. Kegagalan pihak pendakwaan untuk menjalankan pendakwaan tanpa mengira latar si tertuduh akan mengakibatkan kegagalan dalam mencapai objektif sesuatu undang-undang itu digubal.

Pada hari ini, kita masih bergelut dengan masalah persepsi berhubung pendakwaan terpilih.

Sering kita dengar rungutan tentang isu 'ikan jerung dan ikan bilis' yang menggambarkan yang didakwa hanyalah mereka yang tidak punya kepentingan manakala yang punya kepentingan dan jaringan, mereka dikira selamat dan tidak akan dihadapkan ke muka pengadilan atas kesalahan yang mereka lakukan.

Dalam kritikannya terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan, Profesor Hashim Kamali memetik kata-kata Muhammad al-Ghazali yang mana berbunyi, "we wish to see these punishments enforced… but not so that the hand of a petty thief be cut while those punishments are waived in cases of embezzlement of fantastic funds from public treasury."[1].

Adakah kita mahu melaksanakan hudud dalam keadaan sebegini?

Apakah pandangan anggota masyarakat apabila yang dirotan hanyalah golongan muda yang tidak punya kepentingan namun si tua yang melanggan pelacur elit, dibiarkan bebas?

Hukum hudud tidak mungkin akan bergerak dengan sendiri. Ia bukanlah satu sakti yang akan mengurus urusannya sendiri.

Ia memerlukan tukang pelaksana dan sebenarnya keadaan tukang pelaksana itulah yang lebih membimbangkan berbanding undang-undang itu sendiri.

Apakah gunanya memiliki undang-undang Tuhan jikalau yang melaksanakannya tidak beriman dan beramal dengan sesungguhnya pada prinsip-prinsip Islam yang menganjurkan berlaku adil?

Jaminan pelaksanaan yang saksama dan adil kepada semua seharusnya menjadi pra-syarat kepada pelaksanaan hudud.

Melaksanakan hudud tanpa memenuhi pra-syarat akhirnya akan membawa kepada penyalahgunaan hudud itu untuk kepentingan politik.

Dan ia tidak seharusnya sekadar satu janji mulut melainkan perlu dibuktikan dengan pelaksanaan undang-undang sedia ada.

Sudah tentu ia bukan satu yang boleh dilaksanakan dalam masa yang singkat.

Jika kerajaan negeri Kelantan bersungguh-sungguh mahu meneruskan hasrat mereka, maka mereka perlu berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan segala faktor yang boleh membawa kepada kezaliman dalam pelaksanaan hudud.

Tidak perlu gopoh untuk membawa usul persendirian di Parlimen.

Cukup buat masa sekarang sekiranya kerajaan Kelantan membentangkan cetakbiru undang-undang hudud yang mana masih samar walaupun sudah hampir suku abad ia diluluskan.

Bahkan kerajaan Kelantan juga masih belum tahu siapa yang harus memotong tangan si pencuri.

Bagaimana pula dengan pelaksanaan hukuman lain? Rejam, contohnya. Di mana akan ia dilaksanakan? Adakah ini sudah diperhalusi?

Jika sudah, maka bentangkan kepada rakyat supaya mereka lebih yakin untuk menyokong undang-undang ini.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa tiada pelaksanaan yang sempurna di dunia ini.

Benar, selagi ada campurtangan manusia, pastilah ada kekurangannya. Namun, apabila membawa kepada kezaliman, sudah tentu ia tidak boleh dianggap remeh.

Apatah lagi dalam keadaan kita menjalankan hukuman atas nama Tuhan.

Renunglah keluhan Hamka satu ketika dahulu, "O, ALLAH!". Kerapkali nama-Mu yang suci diambil sandaran oleh manusia untuk melakukan kezaliman kepada sesama manusia."[2]

Maka tanyalah pada diri sendiri: Hudud yang didambakan ini, akan membawa kesejahteraan atau bakal membinasakan? – 5 Mei, 2014.

[1] Punishment in Islamic Law, Prof Hashim Kamali

[2] Islam: Revolusi Ideologi & Keadilan Sosial, Hamka

– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/hudud-teguran-suci-dan-jujur-fuad-syazwan-ramli#sthash.2hmWKbsB.dpuf

LikeTweet

You Might Also Like

0 ulasan

Popular Posts

Flickr Images

Borang Maklumat Hubungan