[Ulasan Buku] Imam
2:06 PGHijrah BidadariJudul buku: Imam
Penulis: SN Abdullah Hussain
Tarikh baca: 8 Oktober 2014
Apa yang berlaku kepada Haji Mihad dalam membawa perubahan adalah kisah yang sudah selalu berlaku dalam dunia hari ini. Seringkali mereka yang ingin membawa perubahan, akan menerima tentangan hebat dari mereka yang kononnya bertanggungjawab untuk menjaga apa yang sudah sedia ada, memelihara status quo dari diganggu-gugat.
Apabila sesuatu pendapat itu diinstitusikan, maka berlakulah masalah apabila ada yang berhajat untuk memikirkan kembali kewajarannya seiring dengan perubahan masa dan keadaan. Dan sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi apabila ia melibatkan perkara agama. Sesuatu yang pada asalnya hanya pendapat peribadi, yang kemudian diangkat menjadi suara ramai, dihias pula dengan agama, sudah tentu akan dianggap sebagai binaan kekal, ayat-ayat muluk yang dipahat kemas pada batu, tidak boleh diubah lagi. Sedangkan realitinya, sesuatu itu haruslah diikat dengan keadaan setempat, dan haruslah sedia untuk diubah apabila keadaan sudah berubah. Gagal untuk menyedari hakikat ini akan membawa kepada kehancuran dan kebusukan, sebagaimana air yang tersekat, tidak dapat mengalir akhirnya hanya menjadi kolam busuk sahaja.
Babak paling menarik sudah tentunya dialog di antara Haji Mihad dan ahli majlis. Teguran Haji Mihad mengenai raja, mengenai mazhab, mengenai kasta ahli majlis, merupakan teguran juga kepada kita semua. Seorang ahli agama tidak seharusnya menganggap dirinya lebih atas berbanding orang lain. Dia seharusnya sedar bahawa dia hanyalah hamba, dan seharusnya dia merasa insaf tentang letak duduk dirinya. Bukan mengangkat diri di atas orang lain, dengan mendakwa diri sebagai wakil Tuhan. Apabila orang sudah takut untuk berdampingan dengan orang agama, apakah lagi yang tinggal? Orang akan cuba mencari agamanya sendiri, tanpa mengharapkan lagi manusia separa-tuhan yang mabuk di atas singgahsana sendiri. Maka timbullah pula amarah dari golongan ahli agama ini apabila orang sudah mula mempersoalkan pendapat mereka yang tidak seiring dengan zaman. Dan timbullah pula label melabel dalam kalangan masyarakat.
Novel ini sememangnya membawa mesej penting kepada kita semua, khususnya dalam menguruskan agama dan institusinya. Jangan kita mengangkat seseorang menjadi tuhan, walaupun pada mulut kita menafikan. Sesuatu yang menarik, ketikamana novel Interlok menimbulkan kontroversi, ada persatuan Melayu yang mengurniakan anugerah ketokohan kepada SN Abdullah Hussain. Saya tertanya, adakah mereka ini sudah membaca novel ini yang penuh dengan tempelakan terhadap mereka?
Semoga kita mendapat manfaat yang besar dari penulisan novel ini.
0 ulasan