Pasca YouthACE : Langkah Taubat Memulakan Perubahan

7:32 PGHijrah Bidadari

'Pasca YouthACE : Langkah Taubat Memulakan Perubahan'

 islam____by_queddaridesign-d4z497f

Alhamdulillah, tidak terlambat untuk saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada para peserta YouthACE 2014 yang lalu. Semoga kehangatan ukhwah dan kederasan ilmu yang diperolehi di sepanjang program masih segar dan menghidupkan hati dan pemikiran anda semua.

Ada seorang peserta bertanyakan kepada saya. Apakah perubahan terawal yang perlu dia lakukan selepas ini? Saya merenung tajam mata sang anak muda itu. Terpancar kesungguhan pada dirinya untuk melakukan anjakan perubahan yang lebih baik.

Jika saya lontarkan soalan yang sama ini kepada 1500 orang peserta YouthACE 2014, apakah yang anda fikirkan? Apakah langkah bermula kita setelah dengan izin Allah SWT kita diberikan sedikit semangat dan petunjuk untuk berubah menjadi lebih muslim, lebih mukmin dan mahu beriman?

Simulasi dari Rasulullah SAW

Suka saya hidangkan kepada para pembaca sekalian simulasi tarbawi dari Rasulullah SAW yang dapat menjadi batu asas kepada kita untuk menjawab persoalan anak muda itu.

Satu saat di tengah perjalanan mengharungi padang pasir, Rasulullah SAW bersama para sahabat berhenti sejenak.

"Cari dan kumpulkan ranting-ranting kayu." Kata Rasulullah SAW.

Para sahabat hairan, bagaimana mengumpulkan ranting di padang pasir ini? "Kalau mencari ranting di sini , tentu tidak ada, yang Rasul." Sahut sahabat.

"Cari dan kumpulkan ranting kayu!" kata Rasulullah SAW lagi.

"Bagaimana akan kita kumpulkan ranting di padang pasir ini? Padahal pohon kayu pun tidak ada yang tumbuh di sini?"

"Carilah dan kumpulkan ranting kayu." Kata Rasulullah SAW lagi.

Para sahabat pun mengais-ngais pasir ke sana kemari. Ada satu dua ditemukan dan dikumpulkan. Nampaknya angin menerbangkan ranting-ranting dari tempat yang jauh. Setelah beberapa waktu ternyata semakin banyak ranting kayu yang dapat dikumpulkan. Tidak disangka.

"Wahai sahabat, berkumpullah kemari." Rasulullah SAW memanggil.

Para sahabat pun menyambutnya dan mendengarkan pesanan yang akan disampaikan Baginda SAW dengan penuh perhatian.

"Seperti inilah dosa-dosamu setiap hari. Sepertinya terlihat tidak ada, sedangkan kelak di hadapan Allah SWT ternyata terkumpul banyak."

Para sahabat terhenyak. Kini mereka faham dan sedar dengan maksud Rasulullah SAW.

Update Dosa?

Bagaimana dengan kita? Terhenyak atau tidak? Perubahan yang "original" tidak akan berlaku sekiranya kita sering merasa dirinya bersih-bersih sahaja. Kuman di seberang laut ia nampak, tetapi panau di atas muka tidak nampak. Seolah tidak ada dosa. Lalu merasa tidak ada apa-apa perubahan pada diri sendiri yang perlu  diperbaiki. Ataupun kita tertipu, sekadar melakukan perubahan pada aksesori diri semata, tetapi pada hatinya, dipenuhi kekotoran dosa. Kita juga bimbang, kita rasa kita sudah berbuat perubahan, tetapi hakikatnya kita sekadar "update" dosa-dosa di hadapan Allah SWT kelak.

Maka, perbaharuilah iman kita dengan memelihara hati dari ulitan dosa. Hati sangat peka terhadap kekotoran. Walau kita merasa tidak mengotorinya, pasti ada sahaja noda masuk dan menutupinya. Kian lama kian menebal. Mulanya kita dapat melihat dengan jelas kebaikan dan keburukan, kemudian ia menjadi kabur kerana tertutup dengan rasa tidak berdosa, pengaruh syahwat dan kepentingan duniawi.

"Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya petunjuk Tuhan. Hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutupi, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya petunjuk (kebenaran). (Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmidzi)

Hati Yang Bertaubat

Maka misi utama perubahan yang perlu menjadi tuntutan dalam kehidupan kita adalah membersihkan hati. Kita harus membersihkan hati, setiap hari. Hampir sebulan kita meninggalkan YouthACE 2014, apakah keghairahan kita terhadap proses membersihkan hati berjalan?

Bagaimana membersihkan hati?

"Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah. Demi Allah, aku sungguh-sungguh bertaubat kepada-Nya lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari." (Riwayat Bukhari)

"Wahai manusia, bertaubatlah kalian kepada Allah dan memohon ampunlah kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat seratus kali dalam satu hari." (Riwayat Muslim)

Ini pesan junjungan besar kita, Rasulullah SAW. Taubatlah, nescaya hati lebih lapang menerima nasihat. Basuh dan bersihkanlah hati anda dengan jalan taubat.

Taubatlah, kerana orang yang beriman itu bukanlah dia yang tidak pernah melakukan kesalahan dan berbuat kebaikan, tetapi orang beriman itu adalah orang yang tatkala ia melakukan kesalahan lantas dia langsung menyedarinya untuk bertaubat dan memohon ampun.

Taubatlah, dengan kembalikan diri kita kepada Rabb kita. Jangan menyelisihi-Nya. Malu kepada-Nya. Besarkan Allah dalam hati kita, walaupun kita memiliki rumah yang paling besar dalam dunia.

Taubatlah, cukup-cukuplah episod noda itu. Tinggalkan keburukan tersebut. Segera selesaikan kemelut dosa itu dengan taubat. Kita minta redha-Nya sebelum maut menjemput. Kita tidak mampu menanggung dosa-dosa yang menumpuk itu di mahkamah Ilahi nanti.

Taubatlah, kita luruskan kembali orientasi hidup hanya semata mencari keredhaan Allah SWT. Merendahkan diri walaupun kita hafal semua buku-buku kajian kemanusian dan ketuhanan. Melututlah atas kebesaran kerajaan dan undang-undang Allah SWT walaupun kita menguasai segala ilmu undang-undang dan ketamadunan kemanusiaan.

Taubatlah dengan memperbaharui komitmen suci bahawa apa sahaja misi kehidupan dan kemahuan tinggi dalam pencapaian yang kita targetkan, semua adalah dalam kerangka ubudiyyah (penghambaan) hanya sanya kepada Allah SWT.  Segala niat, ucapan, tindakan, gerakan, kebijakan, kemampuan dan kepakaran terfokus semata membesarkan Allah SWT. bukan membesarkan diri sendiri, bukan membesarkan kebendaan, pangkat, jawatan, glamour, kemasyuran, kepandaian mahupun nafsu syahwat.

Taubatlah, nescaya kita akan untung dan disukai Allah SWT.

"…dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung. (An-Nuur:31)

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang menyucikan diri. (Al-Baqarah; 222)

Bertaubatlah anak-anak muda sekalian, kerana dosa itu akan menyesakkanmu. Ibn Kathir berkata,

"Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit."

Perubahan besar yang sebenar adalah bermula dengan membersihkan hati. Tarbiyah hati kita dengan taubat. Hitung dosa kita. Imam tabi'in hebat bernama Sufyan ats-Tsauri ada menyebutkan,

"Suatu hari aku duduk menghitung dosa-dosaku. Cuba, pernahkah selama hidup kita menghitung dosa-dosa sendiri? Aku katakan kepada diriku.'Kau akan menghadap Allah , hai Sufyan dan Dia akan mempersoalkan kamu tentang dosa-dosamu satu per satu.' Hanya sebeginikah yang dapat kau ingatkan, hai Sufyan. Bagaimana dengan dosa yang dicatat Allah dan engkau lupakan? Bertaubatlah hai Sufyan. Bertaubatlah sebelum engkau menghadap Allah SWT."

Bayangkan Sufyan ats-Tsauri seorang imam besar, tokoh intelektual Islam yang berguru dengan para sahabat Rasulullah SAW, beliau masih tetap tawadhu' dan berlapang dada menghitung dosanya. Lalu kita bagaimana?    

Bertaubatlah, kerana Allah SWT mengkehendaki taubat kita. Firman-Nya;

"Dan Allah hendak menerima taubatmu, sedangkan orang-orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran)." (An-Nisaa':27)

Taubat kita juga adalah menghindari golongan yang mengikut hawa nafsu. Ini cabaran kita. Sering terpesong dengan pujukan mereka. Mereka mahu kita lagha dan sesat. Mereka hidangkan kepada anak muda dengan program dan pengisian yang melalaikan.

Bertaubatlah, meskipun sukar. Saya faham, memang sukar mahu memaksa hati untuk bertaubat. Selagi iblis ada, selagi itulah kita diperdayakannya. Namun yakin dan percaya, Allah SWT tidak akan membiarkan kita yang mahu dekat kepada-Nya. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda; 

"Iblis berkata: 'Ya Rabb-ku, demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu adam selama ruh mereka masih berada di tubuh mereka.' Allah  pun menjawab: 'Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka memohon ampunan kepada-Ku.'"

Penutup: Mari Menjadi Hamba Dengan Taubat

Seruan saya pada tulisan ini adalah untuk mengajak kita memulakan langkah perubahan dengan membersihkan hati. Dan antara jalan utama membersihkan hati adalah jalan taubat. Lakarlah langkah kejayaan kita dengan kekuatan taubat. Belajarlah dari tulisan para ulama' bagaimana jalan-jalan taubat yang sebenarnya sehingga kita meraih taubat nasuha. Walaupun mungkin ada yang merasa kupasan seperti ini seperti tidak "up to date", namun inilah jalan para Nabi dan Rasul, jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang menjadi ikutan para sahabat RA, para tabi'in dan para ulama'. Ini bukan jalan ikut "trend" semasa, tetapi ini adalah jalan yang Allah sediakan buat hamba-Nya yang mahu kembali kepada hakikat penghambaan kepada-Nya. Kita adalah hamba dan marilah menjadi hamba kepada Allah SWT semata.

LikeTweet

You Might Also Like

0 ulasan

Popular Posts

Flickr Images

Borang Maklumat Hubungan